‘Tak Peduli Komen’ Apabila Isu Gambar Berbikini di Pantai Thailand - Reen Rahim

Kuala Lumpur: “Minta maaflah. Kalau setakat komen dengan cara yang biadab dan kasar, saya takkan ambil kisah pandangan mereka,” tegas pelakon Reen Rahim menjawab kritikan peminat mengenai isu beberapa keping gambarnya berbikini ketika bercuti di Thailand, minggu lalu yang dimuat naik di Instagram.

Reen atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Abdul Rahim, 26, dikecam dengan teruk di forum sosial berikutan tindakannya berkongsi beberapa keping gambar itu ketika bercuti bersama rakan-rakannya di kepulauan Koh Lipe, minggu lalu. 

Mengulas isu terbaru itu, Reen berkata, perkongsian gambar peribadi menerusi akaun Instagram miliknya adalah untuk kepuasan sendiri dan sama sekali tidak bertujuan untuk mencetuskan provokasi kepada mana-mana pihak.

“Saya akan fikirkan kesan baik dan buruknya sebelum saya muat naik apa-apa gambar sebab saya sedar akaun itu boleh dilihat masyarakat.

“Bagi saya, gambar yang dikongsi itu tidak keterlaluan dan boleh diterima keluarga sendiri, saya tak anggap ia satu masalah,” katanya yang ditemui di Balai Berita, semalam.

Reen yang juga juara program Pilih Kasih musim ketiga berkata, gambar yang dikongsi menerusi platform itu adalah cerminan telus dirinya bagi menceritakan perkembangan terbaru dengan peminat.

“Apa yang saya kongsi adalah diri saya sebenar. Kalau orang tengok di luar atau dalam gambar adalah orang yang sama.